PUTRAJAYA – Pelakon dan pelawak Along Cham mengesahkan akan menfailkan lafaz cerai taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Sepang, Selangor dalam masa terdekat.
Menurut Along dan Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, tindakan tersebut diambil selepas mendakwa isterinya sudah melanggar tiga perjanjian taklik yang dipersetujui sebelum ini pada tahun lalu.
Antara taklik yang dilanggar Afreena ialah tidak patuh dan membelakangkan suami.
“Ya, saya akan failkan dan pengesahan lafaz taklik terhadap isteri di Mahkamah Rendah Syariah Sepang sebab alamat rumah saya di bawah mukim Sepang.
“Memang mengejutkan semua dan semua ibarat drama yang ada ‘plot twist’.
“Sebelum ke mahkamah untuk failkan pengesahan itu, saya perlu dapatkan beberapa dokumen penting seperti sijil nikah termasuk kad pengenalan saya yang masih dalam simpanan ‘mak lampir’ (Afreena).
“Dia langgar taklik itu beberapa bulan yang lalu iaitu pada tahun lepas. Buat masa sekarang saya tak boleh nak cerita panjang sebab semuanya masih belum selesai,” katanya kepada Kosmo! Online di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini, hari ini.
Dedahnya, dia sepatutnya memfailkan lafaz cerai taklik tersebut di mahkamah pada 16 Disember tahun lalu tetapi malangnya ditahan pihak polis pada 14 Disember atas dakwaan memiliki dadah.
Dalam masa sama dia juga meminta orang ramai tidak melemparkan tuduhan bahawa isu perceraian tersebut berkaitan dengan penahananan kes dadahnya sebelum ini.
“Jadi, ini tindakan pertama saya lakukan selepas keluar dari ‘madrasah’ (penjara) semalam.
“Kepada netizen, belajarlah agama lebih tinggi sebab lafaz taklik ini tiada kaitan dengan kes saya ditahan sebab isu dadah.
“Tolong ya, bila cetek ilmu agama, jangan buat penilaian sendiri,” jelasnya.
‘Padan muka saya’
Along juga tidak menafikan wujud orang ketiga dalam permasalahan rumah tangga mereka.
Akuinya, dia juga tidak menyangka rumah tangga yang dibina selama sembilan bulan itu bermasalah.
“Orang ketiga itu ada tetapi bukan berkaitan isu curang. Namun, saya tak boleh memberi huraian lanjut.
“Padan muka saya, ‘menggelenyar’ sangat nak kahwin. Memanglah sedih sebab pasangan mana yang berkahwin hendak bercerai.
“Saya sudah habis sayang rumah tangga saya dan agak terkejut sebab dia masih melanggar juga,” jelasnya.
Hari ini, Kosmo! Online melaporkan Along bakal memfailkan dan membuat pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap Afreena di Mahkamah Syariah Putrajaya hari ini.
Along dan Afreena, 32, mendirikan rumah tangga pada 4 April lalu.
Sebelum ini, Along pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas Bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4) iaitu Zila Seeron, 35, pada 23 Januari 2010.
Bagaimanapun rumah tangga yang dibina tidak bertahan lama apabila mereka bercerai pada 13 Ogos 2016 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak.
Semalam, pelakon filem Tiada Tajuk itu membuat sujud syukur di kandang tertuduh selepas Mahkamah Sesyen Sepang di sini melepaskannya tanpa membebaskan (DNAA) daripada satu pertuduhan berkaitan pemilikan dadah disyaki kanabis.
Dalam perkembangan berkaitan, Along turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan lain melibatkan pemilikan dan penggunaan dadah.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 sementara menunggu perbicaraan. – KOSMO! ONLINE