GUA MUSANG – Aliran trafik menuju ke pusat bandar Gua Musang di sini sibuk di beberapa lokasi berikutan perantau mahu pulang ke kampung halaman masing-masing untuk bercuti sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Tinjauan Kosmo! di Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Gua Musang-Kuala Krai di sini mendapati, kedua-dua laluan itu bertambah dengan kenderaan sejak tengah hari tadi.
Alidan trafik juga sibuk ketika melalui kawasan lampu isyarat di bandar Gua Musang dan kawasan pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Seorang pekerja swasta, Mohd. Razlan Ismail, 37, berkata, dia bersama keluarganya bertolak dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 10 pagi dan sampai di Hentian Gua Musang pada pukul 2 petang ini.
Katanya, meskipun kenderaan semakin bertambah, namun keadaan trafik masih lancar.
“Saya bertolak pagi untuk mengelak kesesakan lalu lintas kerana kenderaan mungkin semakin bertambah bermula petang hingga malam ini.
“Saya bersyukur perjalanan kami lancar dan selamat tiba di Kelantan untuk bertemu keluarga sempena cuti Tahun Baharu Cina,” katanya.
Yap Kim Sang, 40, dari Shah Alam, Selangor pula berkata, dia dan keluarganya tidak melepaskan peluang untuk pulang bercuti dan meraikan Tahun Baharu di kampungnya.
Katanya, dia mengambil cuti selama seminggu bagi meraikan sambutan bersama ibu, bapa dan rakan-rakannya. – KOSMO! ONLINE