PEMAIN beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik menaruh sepenuh kepercayaan bahawa permainan dia dan Aaron Chia akan naik ke satu tahap lebih tinggi di bawah kendalian ketua jurulatih beregu lelaki baharu, Herry Iman Pierngadi.
Kemampuan bekas jurulatih skuad kebangsaan Indonesia itu tidak perlu diragukan lagi apabila beliau dianggap sebagai tunjang dalam melahirkan pemain-pemain terbaik dunia acara tersebut.
Wooi Yik berkata, masih banyak perkara yang perlu dia dan Aaron belajar daripada jurulatih yang terkenal dengan julukan ‘Naga Api’ itu bagi meningkatkan lagi mutu permainan mereka.
“Memang banyak perlu kami belajar daripada Herry kerana beliau pernah mengemudi ramai pemain terbaik seperti Kevin Sanjaya (Sukamuljo) dan Marcus Fernaldi Gideon. Permainan kami juga masih ada kekurangan.
“Kami mungkin ada dapat pingat pada kejohanan-kejohanan di Malaysia tetapi belum dapat menjadi juara, jadi di situlah kekurangan. Saya yakin beliau akan bawa kami ke satu tahap lebih tinggi,” katanya.
Terdahulu, Aaron-Wooi Yik berjaya melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Indonesia Masters, namun tewas 18-21, 15-21 kepada rakan sepasukan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Aaron menyifatkan pertembungan sesama sendiri di separuh akhir Jelajah Dunia Super 500 itu merupakan satu petanda positif sebelum menyambut kehadiran Herry yang akan memulakan tugas secara rasmi bulan depan.
“Petanda cukup baik untuk beregu lelaki Malaysia sebelum Herry bermula Februari ini. Harap kami dapat teruskan momentum kerana nanti ada acara berpasukan seperti Piala Sudirman dan BAMTC (Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran),” ujarnya.
Sebagai rekod, Herry pernah mengemudi beberapa beregu lelaki Indonesia menjadi juara Olimpik termasuk gandingan Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008).