JOHOR BAHRU – Kehidupan mewah empat warga asing termasuk dua wanita sehingga memiliki kereta mewah jenis Maserati Granturismo berharga lebih RM400,000 terbongkar selepas ditahan polis dalam dua siri serbuan di sekitar bandar raya ini pada 22 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, rahsia dua lelaki dan seorang wanita Singapura serta wanita Thailand berusia 30 hingga 40 tahun itu ‘bocor’ susulan tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan disyaki pengedar dadah.
Serbuan pertama dilakukan susulan siasatan kes rompakan bersenjata yang dilakukan suspek tempatan berusia 36 tahun ke atas sebuah kedai snuker di Stulang Laut di sini 17 Januari lalu.
“Dalam kejadian rompakan itu, suspek menggunakan pisau lipat dan melarikan wang tunai RM1,060 daripada juruwang bertugas.
“Hasil siasatan, polis menangkap suspek di tepi Jalan Dato’ Abdullah Tahir di sini dan merampas beberapa barangan termasuk motosikal Yamaha LC, telefon bimbit dan beg berwarna hitam.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dadah heroin dan syabu seberat tiga kilogram (kg) yang dibawa suspek. Suspek mengaku menjadi ahli sindiket dadah yang didalangi warga asing terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini, hari ini.
Raub berkata, polis seterusnya melakukan serbuan ke atas sebuah pangsapuri mewah di sini dan menahan keempat-empat warga asing tersebut.
Polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk 2.27kg heroin, ganja (1.06kg), ketamin (590.66 gram), serbuk ekstasi (174 gram), syabu (6.3 gram), pil eramin 5 (1.3 gram dan 13.67 liter cecair dadah bernilai RM97,707.86.
Tambahnya, sindiket itu yang sudah beroperasi sejak Disember lalu menjadikan pangsapuri mewah sebagai tempat memproses dadah termasuk membancuh cecair rokok elektronik atau vape perisa dadah.
Polis merampas kereta Maserati Granturismo, Proton Satria, motosikal Honda CBR 150 serta mata wang Dolar Singapura serta Ringgit Malaysia. Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan sebanyak RM524,227.86.
“Ujian saringan air kencing mendapati kelima-lima suspek positif dadah. Semakan mendapati lelaki tempatan dan seorang lelaki Singapura mempunyai rekod jenayah,” ujarnya.
Semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 29 Januari ini untuk membantu siasatan termasuk di bawah Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE