fbpx

Wanita maut diserang 11 anjing, ditemui tanpa pakaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wanita warga emas maut diserang sekumpulan anjing liar yang berkeliaran di Terminal Bas Kunak pada Sabtu lalu. - Foto media sosial

KUNAK – Seorang wanita warga emas maut diserang sekumpulan anjing liar di Terminal Bas Kunak di sini Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 1.49 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an dipercayai diserang kira-kira 11 ekor anjing berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi tersebut.

Berdasarkan CCTV yang tular di aplikasi WhatsApp, mangsa dikerumuni sekumpulan anjing sebelum haiwan tersebut menyerangnya.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 6.30 pagi hari sama daripada orang awam yang memaklumkan kejadian tersebut.

“Berdasarkan maklumat terdapat penemuan mayat wanita di kawasan terminal bas. Siasatan awal Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kunak mendapati wanita itu terbaring tanpa berpakaian.

“Terdapat luka dipercayai kesan gigitan anjing liar di tangan kiri, kepala, dada, pinggang dan kedua-dua kaki mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, barangan kepunyaan mangsa berselerak di lokasi kejadian. Semakan CCTV mendapati mangsa diserang sekumpulan anjing sehingga meninggal dunia pada pukul 1.49 pagi, Sabtu lalu.

“Pemeriksaan mendapati mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dipercayai bukan berasal dari Kunak. Bedah siasat dijalankan di Hospital Tawau hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI