PETALING JAYA – Anak pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, mengundang sebak orang ramai dengan ucapan terima kasih kepada ibu bapanya atas kasih sayang dan pengorbanan mereka membesarkannya.
Menerusi sebuah perkongsian olehnya di TikTok, kedua ibu bapanya dilihat menghantarnya memasuki kolej untuk menyambung pelajaran.
Dalam hantaran penuh emosi itu, dia yang dikenali sebagai Ash mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa tercinta atas segala pengorbanan mereka.
“Kepada umi dan abi, terima kasih kerana menjaga Ash dari kecil sampai besar. Terima kasih kerana mengajar Ash menjadi kuat sebagai anak sulung daripada tiga adik-beradik.
“Terima kasih juga kerana sentiasa menyediakan makanan untuk Ash, tanpa pernah meminta, abi dan umi tetap memberi tanpa ditanya,” tulisnya.
Selain itu, beliau juga memohon maaf atas segala dosa besar dan kecil yang telah dilakukan sepanjang hidupnya.
“Ash selalu merindui umi dan abi setiap kali berjauhan,” ujarnya lagi.
Ash turut menyedari betapa banyak dia menyusahkan abi dari segi kewangan, namun dia menganggap itu adalah nafkah daripada bapa untuk dirinya dan adik-adik.
Dalam momen terakhir pelukan umi, Ash juga menangis tetapi hanya di dalam hati kerana dia seorang lelaki yang perlu menjadi kuat.
“Terima kasih umi dan abi sudi hantar Ash ke kolej. Sudi angkat barang. Ash suka sangat-sangat saat itu, tak tahu nak terangkan macam mana,” tulisnya dengan penuh kesyukuran.
Mengakhiri coretan itu, dia turut meminta kedua ibu bapanya untuk mendoakannya kejayaannya. – KOSMO! ONLINE
@mik0chan__ Ini rahsia tuhan yg ingin saya ceritakan.☝🏻 @Nisyawan @Ustaz Azhar Idrus ♬ original sound – officialnohsalleh