SEPANG – Polis kini menjejaki pasangan suami isteri susulan video tular memaparkan seorang isteri ditampar suaminya di khalayak ramai yang dikatakan berlaku di sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan, di sini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, tindakan itu dibuat susulan laporan polis dibuat seorang individu yang mengesahkan wanita dalam video itu adalah kakak kandunganya.
Beliau berkata, pihaknya juga telah menerima rakaman video itu semalam dan mengesahkan insiden itu berlaku di sebuah pasar raya di Kota Warisan, Sepang.
“Pengadu hadir membuat laporan polis bahawa wanita itu adalah kakak kandungnya berusia 35 tahun manakala lelaki yang memukul adalah suami mangsa berumur dalam lingkungan 50 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini,” katanya.
Menerusi rakaman video sebelum ini, wanita berkenaan dilihat berjalan menuju ke pintu keluar sebuah pusat beli-belah sebelum didekati seorang lelaki yang kemudian bertindak menamparnya.
Insiden itu sempat dirakam orang awam sebelum dimuat naik di laman sosial yang kemudiannya mengundang kemarahan netizen. – KOSMO! ONLINE