PETALING JAYA – Seorang pempengaruh TikToK, Cik Din menghadiahkan sebuah telefon baharu kepada lelaki orang kelainan upaya (OKU) selepas gajetnya dicuri dalam kejadian di kedai Runcit di Rhu Rendang, Marang Terengganu, Selasa lalu.
Menerusi video di TikTok di Pewer Store, Cik Din yang terkesan dengan insiden itu telah mencari maklumat lelaki OKU berkenaan untuk memberikan sumbangan tersebut, semalam.
Dalam video berdurasi lebih dua minit, lelaki OKU terbabit memberitahu Cik Din bahawa dia terpaksa meminjam telefon kakaknya selepas kejadian itu.
Lelaki itu yang berkeja sebagai juruwang di sebuah kedai runcit turut dilihat tersenyum gembira dengan pemberian tersebut.
“Kerja baik-baik, jangan sedih. Ini ambil telefon baru, ya. Teruskan dan kerja macam biasa,” kata Cik Din ketika menyampaikan hadiah berkenaan.
Dalam pada itu, Cik Din turut menitipkan nasihat kepada pengguna media sosial supaya tidak melakukan perbuatan mencuri terutama terhadap golongan OKU.
“Hebat sangat ke awak pergi rompak orang awam. Sudahlah OKU, nak berlari pun tak betul.
“Janganlah mencuri dan cari kerja halal. Walaupun gaji sikit tapi hidup berkat dan cukup,” jelasnya.
Terdahulu, seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan mencuri telefon bimbit milik seorang juruwang OKU tempang di Rhu Rendang, Marang Selasa lalu.
Suspek berusia 29 tahun berjaya ditahan di Taman Batin Perdana, Kuala Nerus pada pada keesokan harinya.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd. Sofian Redzuan berkata, siasatan awal mendapati suspek disyaki mencuri telefon bimbit jenis Samsung Galaxy milik juruwang OKU kategori fizikal terbabit yang diletakkan di kaunter pembayaran sebuah kedai runcit. – KOSMO! ONLINE
@peweronline Replying to @khai_izzi ♬ original sound – Pewer Store – Wer Wer