PETALING JAYA – Seorang isteri mencuri perhatian ramai apabila membuat kejutan istimewa kepada suaminya dengan ucapan hari jadi yang ditampilkan pada kincir ria di Gamuda Gardens Fun Park, Rawang, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian oleh @Riririmau di TikTok, wanita tersebut bersama suami dan anak mereka sedang merakam video dengan latar belakang kincir ria berkenaan.
Dalam rakaman itu, wanita tersebut dilihat mencuri pandang ke arah belakang untuk memastikan kejutan itu telah siap.
Suaminya yang ketika itu sibuk menguruskan anak mereka, langsung tidak menyedari apa yang sedang berlaku sehinggalah isterinya meminta dia menoleh ke belakang.
Sebaik sahaja menoleh, suaminya terpaku melihat mesej istimewa yang tertulis pada kincir ria itu.
“Selamat Hari Jadi, Azri Afifi. Semoga hari awak dipenuhi dengan gelak tawa dan kasih sayang,” tulisnya.
Kejutan kreatif itu berjaya mencetuskan reaksi teruja pengguna media sosial yang memuji usaha wanita tersebut untuk mencipta kenangan indah buat suaminya.
“Ini bukan ‘flex’ dekat taman tema, ni dekat lebuh raya pun nampak tau. Hari-hari saya beriya baca ucapan orang bila lalu dekat lebuh raya tu,” ujar @Nabilahf3.
“Isteri tahu cara menghargai suami, bila dirinya juga dihargai,” luah @Mighaawhb. – KOSMO! ONLINE
@riririmau Flex birthday dekat satu theme park! Hahaha #birthdaysurprises #fyp ♬ suara asli – bukangrace