fbpx

[VIDEO] Dua parah ditetak 11 lelaki bertopeng pecah rumah di Subang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar 11 lelaki bertopeng memecah masuk rumah mangsa semalam.

SUBANG JAYA – Dua lelaki tempatan cedera parah akibat ditetak dengan menggunakan parang oleh 11 lelaki bertopeng yang memecah masuk kediaman mereka di Jalan Bunga Melur, Batu 14 Puchong, di sini, tengah malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Mohd Fairus Jaafar berkata, pihaknya setakat ini berjaya menahan enam suspek berusia 23 hingga 28 tahun serta sebilah parang pukul 8 malam semalam.

Katanya, 11 lelaki bertopeng dipercayai membawa beberapa bilah parang datang dengan menaiki tiga kereta sebelum membuka pagar serta pintu rumah yang tidak berkunci dan terus berlari masuk ke dalam rumah tersebut.

“Suspek terus menyerbu mangsa lelaki tempatan berusia lingkungan 31 tahun dan 38 tahun yang sedang berada di ruang tamu dan terus menetak mangsa berkali-kali menggunakan parang.

“Kemudian, kesemua suspek terus melarikan diri menaiki kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa yang cedera parah pada bahagian badan, kaki, tangan serta beberapa bahagian badan lain dikejarkan ke Hospital Serdang bagi mendapatkan rawatan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang bertopeng muka dan bersenjatakan pisau panjang lebih kurang enam inci telah masuk ke dalam rumah melalui pintu hadapan yang tidak berkunci.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian yang berlaku,” jelasnya.

Tambahnya, enam suspek yang ditangkap mempunyai rekod jenayah dan rekod narkotik lampau.

“Suspek telah ditahan reman selama tiga hari mulai 27 Januari hingga 29 Januari bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 394/326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan,” katanya lagi.

Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini supaya tampil menyalurkan maklumat dan memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627222 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat, ASP Khairulazizi Ismail di talian 019-2817820. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI