GEORGE TOWN – Sembilan lelaki bersama empat wanita termasuk seorang warga Thailand masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah bermain judi di sebuah rumah di Tanjong Tokong, Sabtu lalu.
Tertuduh ialah Audrea Ooi Pei Yun, 29, Stefan Chua Kanglong, 31, Chin Thean Soo, 21, Chang Yau Khoon, 34, Teh Hun Teong, 31, Wayson Por, 23, Yeoh Ching San, 33, Shin Chee Yang, 36 dan Siah Hong Leong, 32.
Lagi tertuduh, Loh Giap Quan, 31, Lai Ley Im, 37, Serene Koh Poh Ling, 36 dan Miss Tipnuntar Sangmukda, 36, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Kesemua mereka antaranya bekerja sebagai akauntan, pegawai bank, penasihat undang-undang dan berniaga kecuali Thean Soo yang masih bergelar pelajar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama telah didapati bermain judi jenis poker di dalam sebuah rumah perjudian terbuka di sebuah rumah di Sri Tanjong Pinang, Tanjong Tokong di sini, kira-kira pukul 10.20 pagi, 25 Januari lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, R. Puran dan ketika prosiding, Syairah memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan boleh memberi pengajaran kepada kesemua tertuduh.
Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon mahkamah mengenakan denda yang minimum memandangkan kesemua anak guamnya telah mengaku bersalah dan telah menjimatkan masa mahkamah.
Majistret kemudian memutuskan setiap tertuduh dikenakan denda RM4,000 dan jika mereka gagal membayar denda mereka boleh dipenjarakan selama empat bulan. – KOSMO! ONLINE