KUCHING – Menukar fikiran atas nasihat pihak tertentu, dipercayai menjadi punca ibu bapa membatalkan hasrat mengambil balik anak mereka yang merupakan bekas anggota Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata ketika ini, seramai 13 daripada 560 kanak-kanak terbabit yang belum dituntut ibu bapa mereka dan kini masih dalam jagaan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Sebenarnya kita sudah hubungi, mula-mula ibu bapa memang berminat untuk mengambil anak, tetapi selepas itu tidak tahu atas nasihat siapa, mereka tukar fikiran.
“Mungkin mereka nak ambil tindakan terhadap kita, tetapi itu hak dia cuma bagi kita, kalau anak itu sudah boleh diambil, ambillah.
“Anda harus memberi keutamaan untuk menjaga anak sendiri tapi inilah, kita tidak dapat memaksa kerana mereka berfikiran seperti itu,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Kebangsaan di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata daripada 13 orang kanak-kanak yang masih dalam jagaan institusi JKM itu, enam daripadanya diperintah tetap mengikut Seksyen 30(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001 manakala tujuh orang lagi diberikan perintah interim.
Nancy juga berkata seramai 536 orang sudah diserahkan kepada keluarga masing-masing dan 11 orang diserahkan kepada Orang yang Layak dan Sesuai (OYLS). – KOSMO! ONLINE