PASIR PUTEH – Tiada prosedur kerja selamat diwujudkan berkaitan kerja-kerja merombak mesin menghancur batu (crushing plant) dipercayai menjadi punca seorang pembantu mekanik maut di sebuah kuari di Mukim Jerus, Selising di sini pada Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kelantan, Ir. Abdul Aziz Salim berkata, sepasukan penyiasat JKKP telah menjalankan siasatan ke atas kejadian tersebut.
Menurutnya, siasatan awal yang dijalankan mendapati tiada prosedur kerja selamat diwujudkan berkaitan kerja-kerja merombak mesin.
“JKKP Kelantan juga telah mengeluarkan satu notis larangan bagi aktiviti kerja merombak kepada pihak pengurusan syarikat kuari tersebut.
“Pihak pengurusan dan pekerja syarikat terlibat telah dipanggil ke pejabat JKKP Kelantan untuk memberi keterangan lanjut bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Abdul Aziz memberitahu, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994.
Beliau berkata, akta itu memperuntukkan hukuman maksimum terhadap majikan sebanyak RM500,000 jika sabit kesalahan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang pembantu mekanik maut selepas dihempap pemberat getah mesin penghantar (conveyor) semasa sedang bekerja di sebuah kuari di Mukim Jerus, Selising di sini pada Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE