fbpx

The Chateau lengkapi percutian mewah dengan manfaat kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandangan indah The Chateau yang menjadi salah satu aset percutian utama di Berjaya Hills, Bukit Tinggi yang mampu menarik pelanggan antarabangsa dan juga domestik.

Perjalanan yang mengambil masa kira-kira 45 minit dari Kuala Lumpur ke Berjaya Hills Bukit Tinggi, Pahang menuju The Chateau Spa & Wellness Resort (The Chateau) sangat berbaloi kerana sebaik tibanya di destinasi percutian setinggi 3,000 kaki daripada paras laut, segala ketegangan, tekanan hidup sebagai warga kota dapat diredakan dengan menikmati keindahan hijau alam sekitar, binaan hotel unik dan juga layanan terbaik daripada kakitangan hotel.

Pengurus Besar Kawasan, Berjaya Hills Resort Berhad dan Berjaya Tioman Resort, Paul Cheah berkata, ini satu-satunya hotel di Malaysia yang dibina menawarkan percutian ala Perancis dengan suhu persekitarannya yang sangat nyaman membolehkan ia menawarkan pengalaman percutian menarik pada harga berpatutan.

The Chateau dibina hasil inspirasi daripada istana Haut Koenigsbourg abad ke 18 yang terletak di Alsace, Perancis dengan hiasan rekaan dalaman menarik, perabot dan pelbagai lagi.

Cheah, 58, yang memiliki pengalaman lebih daripada 35 tahun dalam bidang perhotelan berpendapat, penambahbaikan perkhidmatan dalam bidang hospitaliti perlu diteruskan kerana wujudnya pelbagai teknologi baharu dan juga pesaing yang berterusan menawarkan pelbagai pakej baharu kepada pasaran.

“Kami perlu seiringan dengan kehendak pasaran dan juga pesaing, kami tidak boleh berpuas hati dengan apa yang telah kami lakukan selama ini, Oleh itu, kami perlu terus berusaha, bersaing dan juga perlu menjadi lebih kompetitif,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan secara umum tentang The Chateau?
Paul Cheah; The Chateau mula dibuka secara rasmi pada bulan Januari 2012 dengan menawarkan 172 bilik daripada lapan kategori yang dijual pada harga berpatutan yang mampu me­ninggalkan pengalaman percutian mewah.

Lebih penting ia memberi manfaat daripada aspek kesihatan kerana hotel bertaraf lima bintang ini berkonsepkan percutian kesihatan kerana kami memiliki kemudahan pusat spa terbaiknya yang dikombinasikan daripada konsep Eropah dan Asia untuk memberi pe­ngalaman menarik buat para pengunjungnya.

Lebih menarik, spa yang dikenali sebagai La Sante telah mendapat anugerah terbaharunya iaitu ASEAN Spa Services Award di the ASEAN Tourism Standard Awards 2025 sekali gus mengukuhkan lagi imej pusat spa ini dalam kalangan peminat serta para pengunjung hotel.

Bagaimana dengan pecahan pengunjung dari luar negara dan juga domestik?
Kunjungan pelancong domestik mewakili 65 peratus dan ba­kinya daripada pelancong asing dari India dan China begitu juga Indonesia.

Kami lihat trend pelancong dari China lebih suka datang sendiri tanpa mengikuti kumpulan rombongan.

Kami juga mahu menarik lebih ramai ­ekspatriat seperti Korea, Jepun dan Eropah yang berada di Malaysia untuk berkunjung dan bercuti di The Chateau pada cuti hujung minggu. Begitu juga kami mahu menarik pelancong dari Singapura.

Bagi pelancongan domestik, kami melihat pecahan sama rata 50 peratus daripada segmen kerajaan dan swasta dan cuti hujung minggu, kunjungan adalah daripada keluarga.

Berapa peratus kadar penginapan pada masa ini?
Kadar penginapan adalah sekitar 75 hingga 80 peratus dan harga jualan bilik secara purata kira-kira RM500 semalam. Kami berkeyakinan bahawa hotel ini akan terus kukuh dan mencatat prestasi yang baik pada tahun ini dan juga tahun depan.

Bila waktu puncak kedata­ngan pelancong?
Selalunya pada awal tahun hingga bulan Mac, kadar pertambahan pelancong tidak tinggi dan juga tidak rendah tetapi pada musim perayaan seperti Tahun Baru Cina, ia meningkat.

Kemudian pada bulan Ramadan, kadar tersebut turun sedikit dan kami tetap menawarkan pakej menarik pada bulan tersebut untuk menarik minat pelancong datang berbuka puasa dan menginap di sini.

Kami melihat waktu puncak perniagaan mula naik bermula daripada bulan April, Mei dan bulan Jun sehinggalah bulan September dan Oktober.

Adakah pihak hotel berdepan dengan cabaran untuk menjual bilik yang ditawarkan pada harga tersebut?
Ya memang ada cabarannya kerana asas harganya, jadi kami kena lebih sensitif terhadap perkara tersebut dan untuk itu kami terpaksa menjadikan harga itu lebih dinamik. Kami melihat terdapat ruang untuk kami menawarkan harga bilik lebih rendah pada hari biasa yang mana kadar penginapannya agak rendah.

Kami tidak mahu membiarkan bilik hotel kosong, kita sudah ada bilik, kalau tidak berjaya menjual, kita akan rugi.

Jadi di situ adanya aliran masuk duit dan ada orang tinggal di bilik yang mana paip air, penghawa dingin, televisyen dipasang. Kalau kita biarkan bilik itu kosong dalam tempoh lama, ia tidak bagus untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

Ia seperti enjin kereta jika tidak dihidupkan dalam tempoh lama, kereta itu akan menghadapi masalah.

Selain itu, pada hujung minggu termasuk perayaan Tahun Baru Cina, kami telah mendapat tempahan yang baik sehingga mencecah kepada 70 peratus dan ketika itu kami boleh menjual pada harga yang lebih baik.

Apa pelan terbaharu hotel pada tahun ini?
Kami akan bina sebuah restoran pada pertengahan bulan depan yang mana di Berjaya Hills terdapat beberapa rumah hijau yang menanam pelbagai sayuran untuk penggunaan hotel dan dijual kepada pasaran serta juga dieksport.

Kami mahu memperkenalkan konsep petik sayur segar dan dimasak oleh cef berpe­ngalaman di restoran ber­kenaan.

Kami tidak akan mem­belanjakan sejumlah wang yang besar untuk projek restoran tersebut kerana kami menggunakan sumber dalaman termasuk kakitangan kami sendiri yang membangunkan projek berkenaan.

Kami berharap projek ini dapat memenuhi konsep ke­lestarian dan penja­gaan persekitaran alam sekitar. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI