fbpx

STR ringankan beban golongan berpendapatan rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zamahshari (kanan) ketika menuntut wang STR di kaunter BSN cawangan Kota Bharu semalam. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

KOTA BHARU – Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 yang disalurkan sejak Rabu minggu lalu telah memberi manfaat yang besar kepada golongan berpendapatan rendah dalam meringankan beban kehidupan mereka.

Bagi penerima STR terdiri daripada golongan bujang dan berkeluarga, bantuan itu juga seperti memberi talian hayat kepada mereka untuk berbelanja keperluan-keperluan penting pada musim cuti persekolahan.

Seorang pembantu kantin sekolah, Ng Leng Ann, 56, berkata, bantuan STR yang diterima sebanyak RM500 baru-baru ini dianggap sebagai rezeki lebih-lebih lagi ketika keluarganya sedang membuat persiapan perayaan Tahun Baharu Cina.

Menurut Leng Ann yang berasal dari Kubang Pak Hamid, Pasir Mas dekat sini, bantuan itu juga memberi peluang kepadanya untuk membuat persiapan persekolahan lebih awal bagi anaknya yang berusia 14 tahun.

“STR ini sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan saya untuk membeli peralatan sekolah anak dan sambutan Tahun Baharu Cina.

“Saya sudah beberapa kali menerima STR dan berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin membantu rakyat,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas menuntut STR di Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Kota Bharu di sini semalam.

 

Pengarah BSN Kelantan, Noriza Hashim (empat dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Leng Ann dan penerima STR lain di BSN cawangan Kota Bharu semalam. – Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

Seorang peniaga pisang goreng, Mohd. Riduwan Mohd. Taimin, 36, berkata, dia yang mempunyai seorang anak berusia empat tahun menerima STR Fasa 1 sebanyak RM500 dan akan menggunakan sepenuhnya bantuan untuk kegunaan keluarga.

Menurutnya, dia bercadang untuk menggunakan STR itu untuk membayar bil elektrik selain membeli keperluan untuk anaknya termasuk susu dan lampin.

“Jumlah STR sebanyak RM500 itu cukup untuk meringan beban dan komitmen bulanan saya pada bulan ini.

“Pendapatan saya sebagai peniaga kebiasaannya tidak menentu lebih-lebih lagi berniaga goreng pisang di tepi jalan,” ujarnya.

Mohd. Riduwan yang berasal dari Kampung Pasir Pekan, Tumpat dekat sini berkata, dia bersyukur apabila kerajaan tidak melupakan golongan peniaga sepertinya untuk layak menerima STR.

Sementara itu, bagi pengawal keselamatan, Zamahshari Hassan, 54, berkata, dia tidak menyangka dan terkejut selepas mendapati namanya terpilih sebagai penerima STR untuk tahun ini.

Katanya, dia sebelum ini tidak pernah menerima bantuan wang tunai daripada kerajaan selepas berpisah dengan isterinya sejak 16 tahun lalu.

“Saya mendapat mesej supaya membuat semakan status permohonan saya dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas memohon bantuan itu baru-baru ini.

“Selepas dimaklumkan layak menerima STR sebanyak RM500, saya terus membuat tuntutan di BSN hari ini (semalam),” ujarnya.

Zamahshari memberitahu, dia akan menggunakan wang berkenaan untuk membeli barangan keperluan dapur.

Menurutnya, selain itu, wang tersebut turut digunakan untuk membeli ubat dan merawat betisnya yang patah akibat kemalangan tahun lalu.

“Saya menghargai usaha kerajaan kerana sumbangan yang disalurkan dapat meringankan beban rakyat yang semakin terkesan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi ketika ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI