ISKANDAR PUTERI – Cubaan seorang lelaki menyeludup 120 kilogram gamat mentah bernilai RM12,000 masuk ke negara ini berjaya digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam).
Pengarah Maqis Johor, Edie Putra Md. Yusof berkata, lelaki tempatan berusia 32 tahun itu dikesan melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, di sini, petang semalam.
“Pemeriksaan dibuat pihak berkuasa pada pukul 5.06 petang telah menemukan lebih kurang 200 paket gamat mentah seberat 120 kilogram di bahagian belakang kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5.
“Pemeriksaan lanjut dibuat mendapati, pemandu terbabit tidak mempunyai sebarang permit untuk membawa masuk gamat mentah bernilai RM12,000 itu ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Edie Putra memberitahu pemandu berkenaan telah ditahan untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan. – KOSMO! ONLINE