MELBOURNE – Raket yang dihempas ke lantai memberi gambaran betapa kecewanya pemain tenis No. 1 dunia, Aryna Sabalenka ketika tewas pada perlawanan akhir Terbuka Australia kelmarin.
Pada perlawanan yang berlangsung di Rod Laver Arena, bintang Belarus itu terpaksa akur tewas kepada pilihan ke-19 dari Amerika Syarikat (AS), Madison Keys menerusi aksi tiga set 3-6, 2-6, 5-7.
Sabalenka yang juga pilihan utama kejohanan berkata, dia tersilap langkah apabila membuat keputusan untuk mengikut rentak permainan Keys yang lebih gemar memanfaatkan pukulan-pukulan deras.
“Sepatutnya saya cuba bermain dengan menggunakan taktikal, bukannya terikut-ikut untuk mencabarnya dari segi kekuatan pukulan. Tidak guna lagi saya bercakap mengenai perkara ini kerana perlawanan sudah tamat.
“Pada awal perlawanan, saya membenarkan dia untuk ‘memanaskan badan’ sebelum cuba untuk keluar daripada situasi itu. Keys bermain cukup konsisten, jadi tidak banyak yang saya boleh lakukan,” katanya.
Sabalenka turut menyuarakan rasa kecewa kerana kekalahan itu menyaksikan dia gagal mengulangi pencapaian legenda tenis Switzerland, Martina Hingis yang memenangi kejuaraan Terbuka Australia selama tiga kali berturut-turut pada 1997 hingga 1999.
“Apabila mara ke perlawanan akhir, saya tiada sasaran lain kecuali menjadi juara. Namun, saya tetap bangga kerana dapat melangkah ke final tiga kali berturut-turut dan harap keputusan lebih baik tahun depan,” ujar Sabalenka. – AGENSI