SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri Kabinet.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, siasatan kes itu sudah dihantar ke pejabat TPR untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Kita dah serahkan kepada kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk sebarang ulasan dan tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Gempur Dadah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negera, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri Kabinet seperti tular di media sosial sebelum ini dan sudah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya, pada 6 Januari lalu.
“Pada masa ini, pihak pendakwa raya mengarahkan pegawai penyiasat untuk mendapatkan laporan pemeriksaan kandungan wanita yang dikatakan diugut anak menteri terbabit,” katanya.
Tambahnya, siasatan awal yang dijalankan juga mendapati anak menteri terbabit dilaporkan sudah menikahi wanita yang dilaporkan mengandung seperti yang tular pada September tahun lalu.
Sebelum ini, tular dalam laman sosial aplikasi Telegram kes membabitkan anak seorang menteri, yang dilaporkan mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab atas kandungan sejak tujuh minggu lalu. – KOSMO! ONLINE