PETALING JAYA – Kerugian akibat tragedi kebakaran di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) hampir empat kali ganda lebih besar berbanding kerugian akibat perang di Gaza.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kebakaran di Los Angeles menyebabkan kerugian ekonomi antara AS$250 bilion hingga AS$275 bilion.
Kata beliau, anggaran kerugian akibat perang di Gaza pula sekitar AS$67.57 bilion, namun ia berlangsung selama 15 bulan berbanding kebakaran di Los Angeles dalam tempoh lebih singkat.
Ujar beliau, seperti perang di Gaza, lebih 150,000 penduduk Los Angeles terpaksa dipindahkan dan mencari tempat perlindungan sementara.
“Ironinya, negara yang sanggup membelanjakan lebih AS$3.5 trilion untuk peperangan di Timur Tengah termasuk di Gaza, gagal menyediakan sumber asas untuk melindungi nyawa dan harta benda rakyatnya sendiri.
“Presiden AS, Donald Trump pada Januari 2025 mengancam pembalasan besar-besaran terhadap Gaza sekiranya tuntutannya tidak dipenuhi gambaran jelas keangkuhan kuasa besar ini.
“Bencana yang berlaku di tanah air mereka sendiri seharusnya menjadi pengajaran bahawa Allah SWT tidak lalai terhadap kezaliman dilakukan oleh mana-mana pihak walaupun mereka kelihatan hebat di mata dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Zulkifli yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama berkata, beliau menzahirkan simpati kepada seluruh mangsa kebakaran di Los Angeles, tetapi ia bukan sekadar bencana alam biasa.
Katanya, ia satu manifestasi kegagalan moral dan kezaliman yang berakar umbi dalam sistem yang lebih besar serta dasar tidak berperikemanusiaan dan penindasan yang menjadi ciri pentadbiran global khususnya AS.
“Ketidakupayaan memadamkan api ini mencerminkan keutamaan politik AS yang tidak seimbang. Sebuah negara yang lebih rela membiayai peperangan daripada menyelamatkan rakyatnya daripada bencana alam,” katanya. – KOSMO! ONLINE