PETALING JAYA – Keluarga diugut, bekas isteri Harith Iskander, Dr. Jezamine Lim berharap pihak yang menyebarkan kebencian terhadap pelawak terbabit berhubung kontroversi didakwa menghina Islam menerima akibat atas perbuatan dilakukan.
Begitupun, Jezamine juga pengurus Harith berkata, dia tetap mendoakan agar individu terbabit diberikan ketenangan selain pintu hatinya dilimpahi kasih sayang yang dapat dikongsikan kepada insan sekeliling.
“Kepada individu di sebalik segala penderaan dan kebencian yang disebarkan, saya masih menyimpan harapan untuk anda.
“Saya harap suatu hari nanti anda menemui ketenangan dalam diri sendiri, hati terbuka dan sedar tenaga yang digunakan untuk menyebarkan kebencian sebenarnya boleh dimanfaatkan bagi menyebarkan kasih sayang, empati dan kebaikan.
“Ingatlah, karma akan berlaku. Apa yang anda beri, itulah yang anda akan terima. Kepada individu yang memuat naik komen keterlaluan sehingga mencetuskan kemarahan ini, saya berharap anda berani mengambil tanggungjawab,” katanya dalam perkongsian Instagram.
Ibu tiga anak itu memuat naik hantaran dalam laman sosial luahan hatinya bersama rakaman video latihan Harith bersama dua putera mereka sebagai gimik pembukaan pada persembahan komedi berdiri di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) kelmarin, namun terpaksa dibatalkan selepas menerima ancaman bunuh.
Jezamine percaya kontroversi yang tercetus akan diselesaikan pihak berkuasa secara telus selain berterima kasih kepada orang ramai yang memberikan sokongan berterusan.
“Kami percaya pihak berkuasa dapat menguruskan perkara ini secara profesional. Kami akan terus memberi fokus kepada perkara yang benar-benar penting seperti keluarga, keselamatan dan sokongan tidak berbelah bahagi ramai orang.
“Kepada yang menghulurkan kasih sayang dan sokongan dalam waktu sukar ini, saya ucapkan terima kasih dari lubuk hati saya.
“Kebaikan anda adalah peringatan yang kuat bahawa masih wujud kebaikan di dunia ini dan memberi kami kekuatan untuk terus ke depan,” ujarnya.
Terdahulu, persembahan Harith di bawah siri DFP Punchline, yang dijadualkan pada 25 Januari 2025 terpaksa dibatalkan selepas pasangan berkenaan menerima ugutan bunuh, bahkan keselamatan anak mereka turut diancam.
Jezamine berkata, keputusan itu adalah terbaik demi keselamatan walaupun dia dan Harith kecewa berikutan dua anak mereka, Zander dan Zydane yang menjadi sebahagian daripada persembahan tersebut turut terjejas.
Dipercayai ancaman dilayangkan disebabkan pelawak berusia 54 tahun itu didakwa membuka ruang agama Islam dipersendakan apabila menjadikan menu sebuah kedai kopi iaitu ‘Ham Sap Kopi’ sebagai konten.
Jenakanya dikatakan berkaitan isu ‘ham’ yang menjadi kontroversi membabitkan kedai rangkaian serbaneka menjual sandwic ham tanpa sijil halal sah di sebuah pusat pengajian tinggi.
Hantarannya mendapat maklum balas netizen termasuk seorang pemilik akaun di bawah nama Cecelia yang mengaitkan Nabi Muhammad SAW, sekali gus mengundang kemarahan umat Islam di negara ini. – KOSMO! ONLINE