MUAR – Perbuatan kejam seorang penoreh getah menetak dan menikam dua warga emas menggunakan parang di Segamat, enam tahun lalu terbalas apabila dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Suria Kumar DJ Paul membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam penghakimannya, Suria Kumar memberitahu, tertuduh, Muhammad Huzairi Razali, 39, juga didapati gagal melepasi untuk membuktikan dia berada dalam keadaan tidak waras pada tahap undang-undang.
“Oleh itu, mahkamah mendapati kamu bersalah dan disabitkan dengan kesalahan membunuh dua lelaki dan mahkamah memutuskan, kamu dihukum gantung sampai mati.
“Dengan hukuman ini, kamu boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap hukuman yang diputuskan,” hujahnya.
Sepanjang perbicaraan, seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa membunuh Ku Cheng Liong @ Ku Sot, 71, di sebuah kedai kopi di Jalan Abdullah, Pekan Buloh Kasap, Segamat pada 5.50 petang, 12 Julai 2019.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa membunuh Ng Wan Hong, 67, di hadapan kedai menjual durian di Jalan Ibrahim, Pekan Buloh Kasap, pada 6.03 petang, hari sama.
Oleh itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika tidak dijatuhi hukuman mati dan sebatan tidak kurang 12 kali.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat mengenai kejadian bunuh sebelum bergegas ke lokasi.
Sebaik tiba, polis ternampak Wan Hong sedang bergelut dengan tertuduh di hadapan gerai ketika lelaki terbabit sedang bekerja sebagai penjual durian.
Semasa pergelutan berlaku, mangsa terjatuh dan tertuduh duduk di atasnya menikam mangsa di dada dengan parang. Tertuduh berjaya ditahan polis sebelum dibawa ke balai untuk tindakan lanjut.
Sebelum itu, tertuduh menetak mangsa yang sedang minum di kedai kopi hingga maut serta-merta di lokasi. Tertuduh beredar dan menuju ke arah mangsa kedua lalu menikamnya.
Mangsa kedua pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Buloh Kasap akibat cedera parah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaei, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Radzi Yatiman.-KOSMO! ONLINE