SHAH ALAM – Memandang dari sudut positif, selebriti versatil Alif Satar yakin dengan kebolehan Sissy Imann untuk mengacarakan Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) bersama Nazrudin Rahman.
Alif atau nama lengkapnya Muhammad Alif Mohd. Satar, 35, berkata, lumrah bagi pemain industri yang pertama kali diberikan tanggungjawab besar akan berdepan kecaman ramai.
“Ramai orang akan tidak berpuas hati. Itu perkara biasa, jadi tugasan buat Sissy untuk ambil dan tunjukkan kebolehan sebab saya yakin dia mampu galas.
“Apatah lagi berpasangan dengan pengacara berpengalaman seperti Abang Naz (nama panggilan Nazrudin) . Doa saya buat mereka semoga berjaya semasa AJL kelak,” katanya kepada Kosmo! Online semasa sidang media konsert suku akhir Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), semalam.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Cukup Indah itu memuji kedua-dua hos AJL39 yang bakal beraksi di Axiata Arena pada 16 Februari depan.
“Abang Naz sangat lancar dan berpengalaman. Dia juga ada cara sendiri, kelakar dan pada masa sama boleh mengendalikan acara dengan formal.
“Sissy pula saya pernah bekerja sekali ketika Semi Final Muzik- Muzik (SFMM) beberapa tahun lepas. Saya juga ada masa awal kerjaya dia dahulu.
“Dia ibarat Apple Music bergerak yang mana seorang pemuzik natural yang boleh bermain gitar dan piano. Dia tahu apa dia cakap, pandai mengacara dan kelakar,” ujarnya.
Alif turut menitipkan pesanan buat pasangan hos AJL39 agar memantau media sosial pada malam acara bagi mempertajamkan kemahiran sepanjang mengendalikan pentas berprestij itu.
“Seronok dalam industri seni sekarang sebab dapat maklum balas dengan segera. Buka aplikasi X tahu komen-komen netizen dan boleh sesuaikan diri atau jadi sesumpah (bertukar) dengan kritikan sepanjang acara berlangsung.
“Pendapat saya, AJL adalah acara yang orang nak tengok dijayakan dengan hebat. Kriteria hos juga boleh membawa acara yang buat penonton rasa tenang dan eksklusif.
“Eksklusiviti tersebut ada pada Naz dan Sissy, penonton perlu beri peluang. Saya yakin penonton boleh terhibur,” jelasnya.
Sebelum ini, ramai mempertikaikan pemilihan Sissy sebagai pengacara malam kemuncak AJL39 bergandingan dengan Naz Rahman.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 30 tahun itu berharap khalayak memberinya peluang selain menyifatkan pemilihannya sebagai hos rezeki daripada Tuhan. – KOSMO! ONLINE