JAKARTA – Pengasas Rekso Group, Soegiharto Sosrodjojo yang terkenal bagi produk minuman Teh Botol Sosro meninggal dunia Jumaat lalu, pada usia 96 tahun.
Menurut laporan CNBC Indonesia, beliau yang berasal dari Slawi telah disemadikan di Grand Heaven Pluit Ruang 110-112, Jakarta Utara.
Soegiharto merupakan Pengasas Rekso Group serta menaungi sejumlah perniagaan dengan yang paling terkenal ialah produk minuman Teh Botol Sosro keluaran anak syarikatnya, PT Sinar Sostro.
Sinar Sosro secara rasmi didaftarkan pada 17 Julai 1974 oleh Soegiharto Sosrodjojo yang merupakan generasi kedua keluarga Sosro.
Syarikat berkenaan dibangunkan oleh tiga generasi kedua Sosrodjojo iaitu Soegiharto, Soetjipto dan Surjanto.
Bagaimanapun, perniagaan itu sebenarnya bermula pada 1940 yang mana keluarga Sosrodjojo memulakan usaha itu di Slawi, Jawa Tengah bagi produk dan pasaran teh seduh Teh Cap Botol.
Seterusnya pada tahun 1960, Soegiharto berpindah ke Jakarta untuk mengembangkan perniagaan keluarga.a
Pada 1969, mereka membuat kemunculan dengan menjual teh siap minum (ready to drink tea) di dalam botol dengan nama Teh Botol Sosro.
Nama berkenaan diambil daripada teh seduh Teh Cap Botol serta nama keluarga tersebut iaitu Sosrodjojo.
Malah produk tersebut turut diperluaskan ke pasaran antabangsa antaranya di Asia, Amerika, Eropah, Afrika, Australia dan Kepulauan Pasifik.
Pada 2009, Forbes pernah menyenaraikan Soegiharto sebagai salah satu orang terkaya di Indonesia dengan kekayaan bersih AS$1.2 bilion, mengatasi Low Tuck Kwong dan Eddy William Katuari. – CNBC Indonesia