HANOI – Pemandu di Vietnam kini lebih bersabar ketika berdepan kesesakan jalan raya selepas undang-undang lebih ketat diperkenalkan bagi mengawal sikap mereka semasa memandu, lapor laman berita VNExpress semalam.
Pada Khamis lalu, dua kemalangan jalan raya membabitkan sembilan buah kereta menyebabkan kesesakan teruk di sebuah lebuh raya menghubungkan Bandar Raya Ho Chi Minh dan Phan Thiet.
Kesesakan sehingga 10 kilometer itu berlaku ketika orang ramai berpusu-pusu mahu pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut kedatangan Tahun Baru Cina.
Beberapa gambar dari lokasi menunjukkan kenderaan berbaris dan bergerak dengan berhemah, manakala pemandu tidak memotong barisan dengan menggunakan laluan kecemasan.
Perubahan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh Dekri 168 berkuat kuasa pada 1 Januari lalu yang meningkatkan denda untuk kesalahan lalu lintas.
Kini pemandu yang berhenti di lorong kecemasan tanpa sebab munasabah atau meletak kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan berdepan denda sebanyak 12 juta dong (RM2,100) hingga 14 juta dong (RM2,400). Ia adalah dua kali ganda penalti sebelum dekri diwartakan.
Bagi kesalahan mengundur, memandu melawan arus atau membuat pusingan U di lebuh raya, pesalah akan dikenakan denda sebanyak 30 juta dong (RM5,200) hingga 40 juta dong (RM7,000), kira-kira tiga kali ganda daripada jumlah sebelumnya. – AGENSI