BEIJING – Bonus berjumlah hampir 40 juta yuan (RM24 juta) akan diberikan kepada para pekerja syarikat Henan Mine Crane Co. Ltd di China melalui pertandingan mengira wang secara besar-besaran, lapor portal berita MSNews hari ini.
Satu rakaman video di platform Douyin menunjukkan deretan meja memiliki panjang antara 60 hingga 70 meter dipenuhi dengan wang tunai dengan peserta diberi masa terhad untuk mengira seberapa banyak wang yang boleh.
Peraturannya mudah iaitu setiap pasukan terdiri daripada 30 pekerja akan memilih dua peserta untuk bertanding dalam peraduan tersebut.
Mereka diberi masa 15 minit untuk mengira wang sebanyak mungkin dengan jumlah yang dikira dikongsi sama rata dalam kalangan ahli pasukan.
Pada akhir pertandingan, seorang pekerja berjaya mengira 100,000 yuan (RM60,000) dalam masa yang ditetapkan itu.
Laman berita Jiemian News melaporkan bahawa Henan Mine mengadakan peraduan sedemikian sejak lima tahun lalu sehingga mendapat jolokan syarikat yang suka memberi wang tunai kepada pekerja oleh netizen. – AGENSI