fbpx

PBAPP optimum bekalan air sempena Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PBAPP akan mengoptimumkan Perkhidmatan air di Pulau Pinang semasa perayaan Tahun Baharu Cina, bermula Rabu ini.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan mengoptimumkan perkhidmatan air di negeri ini semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut bermula Rabu ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. K. Pathmanathan berkata, PBAPP tidak merancang untuk melaksanakan sebarang gangguan bekalan air berjadual (SWSI) semasa musim perayaan tersebut.

Menurut beliau, pihaknya akan menggerakkan 200 kakitangan respons kecemasan dengan melibatkan 10 lori tangki untuk bersiap siaga terhadap sebarang kejadian tidak diduga dalam kadar segera.

“Paras sungai Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang di Seberang Perai Utara (SPU) telah melebihi tahap ‘selamat’ iaitu 2.0m sejak 1 Januari lalu dan PBAPP mengabstrak air mentah dari sungai ini untuk menyokong pengeluaran air optimum di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

“Tanpa sebarang kejadian tidak diingini, LRA Sungai Dua akan terus menghasilkan air secara optimum sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina nanti.

“LRA Bukit Toh Allang di Seberang Perai Tengah (SPT) juga akan beroperasi pada tahap optimum untuk membekalkan kira-kira 39.1 juta liter sehari (JLH). Begitu juga LRA Bukit Panchor bersedia mengeluarkan tambahan kira-kira 20.2 JLH air untuk kegunaan di Seberang Perai Selatan (SPS),” katanya di sini hari ini.

Pada 2024, LRA Sungai Dua mengeluarkan purata kira-kira 1,021.2 JLH air terawat, yang dibekalkan kepada sejumlah 590,000 pengguna air di Seberang Perai dan daerah Barat Daya (DBD) di bahagian pulau serta ke Air Itam, Farlim dan kawasan sekitarnya.

Sementara itu katanya, empat LRA di daerah Timur Laut (DTL) iaitu di Air Itam, Bukit Bendera, Guillemard dan Air Terjun menghasilkan sejumlah 76.6 JLH air terawat untuk bekalan di semua kawasan berkenaan.

“Walaupun kapasiti efektif Empangan Air Itam 2,159 juta liter (JL) tidak optimum, terdapat air yang mencukupi tersedia dari empangan ini untuk musim perayaan ini.

“LRA Batu Ferringhi dan LRA Sungai Pinang di daerah Barat Daya juga telah bersedia untuk menyalurkan kira-kira 53.8 JLH air terawat, terutamanya untuk bekalan di kawasan utara dan barat bahagian pulau,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI