fbpx

MoSAIC ruang kreativiti ‘bebas’ untuk kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Karimah dan Fiza (dari kiri, duduk dalam barisan ketiga) bersama tetamu jemputan, pemegang taruh, sukarelawan dan juga kanak-kanak pada majlis perasmian MoSAIC di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Ramai kanak-kanak kini lebih menghabiskan masa seharian dengan gajet yang melekakan sehingga tidak me­nyedari bahawa mereka berbakat besar dalam bidang sukan, kecantikan, seni budaya, bercerita, melukis dan bertukang.

Ibu bapa yang sibuk dengan kegiatan harian selain berdepan cabaran kos sara hidup yang semakin tinggi juga memberi tekanan kepada anak-anak untuk mengaspirasikan bakat dan minat masing-masing dengan menyertai kelab, persatuan atau kelas yang dapat menggilap bakat kreativiti anak-anak.

Lebih memberi cabaran kepada ibu bapa, penjaga dan anak-anak adalah mereka tiada ruang atau platform khusus meluahkan minat dan menghasilkan kreati­viti masing-masing untuk dikongsi bersama rakan, guru dan komuniti selain terbabit de­ngan pelbagai aktiviti bersesuaian dengan umur mereka di premis khusus untuk kanak-kanak.

Bersandarkan isu tersebut, sebuah muzium kanak-kanak yang pertama di bangunkan di Malaysia yang dikenali sebagai Muzium Sains, Seni dan Inovasi Kanak-Kanak (MoSAIC) akan mula beroperasi pada bulan Februari ini.

Ini adalah gandingan idea dan usaha yang dibangunkan lebih daripada lima tahun oleh Pengasas MoSAIC, Fiza Zin dan pe­ngasas bersamanya, Karimah Koh Siow Kien.

Kedua-dua wanita gigih ini mahu untuk menjadikan muzium ini sebagai ruang inklusif bagi kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun untuk melahirkan aspirasi kreativiti, menyertai permainan dan penerokaan selain memupuk persahabatan baharu, merapatkan jurang sosio-ekonomi, sekali gus meningkatkan pengetahuan serta pem­belajaran.

Bagaimanapun, bagi remaja berumur 13 hingga 17 tahun, mereka juga boleh menyertai program di muzium ini dengan menyertai bengkel dan pengalaman praktikal yang menggalakkan penglibatan lebih mendalam dan pembangunan kemahiran.

Menurut Fiza, projek ini bukan hanya mencipta muzium tetapi juga membina ruang yang mana kanak-kanak dan keluarga boleh bersama-sama mencipta, mene­roka dan bermimpi tentang masa depan Kuala Lumpur (KL).

“MoSAIC adalah usaha kerjasama dan ia juga bukan sekadar ruang fizikal tetapi ia adalah usaha bersama komuniti yang dipimpin oleh kami dan juga dianjurkan melalui sokongan daripada pelbagai sukarelawan.

“Projek ini membentuk perkongsian strategik dengan para pendidik, artis, badan bukan kerajaan (NGO), kanak-kanak dan perniagaan untuk memperkayakan tawarannya dan memastikan perspektif yang pelbagai.

“Dengan memupuk perkongsian ini, MoSAIC memastikan kanak-kanak mengalami pendekatan pembelajaran, permai­nan, dan kreativiti yang holistik dan Inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran muzium kanak-kanak tersebut yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed di sini baru-baru ini.

MoSAIC terletak di kawasan strategik di tengah pusat bandar KL, di Presint Sivik dan Warisan yang mana lokasinya mudah diakses melalui pengangkutan awam dan juga dikelilingi oleh mercu tanda bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Mahkamah Tinggi Lama dan Dataran Merdeka.

Premis setinggi lima tingkat itu juga menawarkan persekitaran pembelajaran yang bersifat praktikal, dengan zon interaktif yang direka untuk memupuk rasa ingin tahu, pemikiran kritikal dan ekspresi kreatif.

Ia memiliki ruang bermain yang mana ia telah direka khusus untuk kanak-kanak terlibat dalam eksplorasi berasaskan deria serta permainan fizikal. Ia juga memiliki Junior Makerspace iaitu sebuah hab inovasi yang bersesuaian untuk kanak-kanak mengubah, membina dan mencipta.

Selain itu, terdapat Zon Li­terasi yang dapat menggalakkan kecintaan terhadap membaca, menulis dan bercerita serta menawarkan ruang khusus untuk menjalankan aktiviti berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Terdapat juga galeri seni kanak-kanak dan persembahan bakat, karya seni dan foto yang dicipta untuk artis muda serta menempatkan kantin mesra kanak-kanak yang membolehkan keluarga berihat bersama sambil menikmati juadah.

Fiza berkeyakinan, MoSAIC dapat memenuhi keperluan kanak-kanak meskipun terdapat sedikit bayaran yuran untuk kemasukan tetapi ia pastinya tidak akan membebankan ibu bapa dan keluarga.

“Melalui inisiatif Pay It Forward, bagi setiap kanak-kanak yang berbayar, seorang kanak-kanak dari kumpulan terpinggir akan ditaja, ini bagi memastikan bahawa kekangan kewangan tidak menghalang akses kepada pengalaman pembelajaran di sini,” ujar beliau.

Fiza menerangkan, idea pembangunan muzium tersebut tercetus daripada pengalaman percutian dan pengalamannya mengembara di luar negara yang mana muzium kanak-kanak sudah dibangunkan di beberapa negara.

Muzium ini dibuka setiap hari kecuali Isnin dan Selasa dengan penganjuran empat sesi sehari.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI