JAKARTA – Seorang lelaki dari Bandung, wilayah Jawa Barat berdepan detik cemas apabila motosikal yang ditunggang terkandas di jalan berlumpur ketika tersesat di kawasan hutan gara-gara menggunakan aplikasi pemetaan, lapor laman berita Detik semalam.
Hasyim, 35, ketika kejadian dalam perjalanan pulang ke kampung sempena cuti panjang Tahun Baru Cina.
Dia menggunakan aplikasi pemetaan bagi menjadikan perjalanannya lebih cepat.
Namun, dia akhirnya terkandas di hutan berjam-jam dan terpaksa menghubungi bomba untuk membantunya mengeluarkan motosikal yang terperangkap.
Ketua Bomba Kebakaran dan Penyelamat, Badan Pengurusan Bencana Daerah Karawang, Rohmat Ilyas berkata, pihaknya menerima laporan daripada Hasyim pada lewat petang Jumaat lalu.
“Kami menerima laporan pada pukul 5.35 petang (waktu tempatan), Jumaat lalu.
“Seorang lelaki bercakap sambil menangis dan memberitahu bahawa dia terkandas serta meminta untuk diselamatkan di sebuah kawasan hutan di Ciampel,” katanya.
Sepasukan anggota bomba kemudian tiba sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan) dan mendapati Hasyim sedang menangis sambil memegang motosikalnya yang terperangkap dalam lumpur di hutan Kolutapohaci.
“Pasukan kami mendapati seorang lelaki terkandas di samping motosikalnya. Dia menangis kerana tidak dapat mengeluarkan motosikal dan dalam masa sama, hari sudah gelap,” kata Rohmat.
Bomba kemudian membantu mengeluarkan motosikal Hasyim sebelum dia dihantar ke sempadan Purwakarta. – AGENSI