JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut selepas terhantuk tiang elektrik sejurus terbabas ketika menunda motosikal bersama rakannya dalam kemalangan di Jalan Masai-Kong Kong, Pasir Gudang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian pada pukul 10.45 pagi itu membabitkan motosikal jenis Yamaha 135 LC dan Honda Wave.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda Wave ditunggang lelaki berusia 36 tahun mengalami kerosakan.
“Motosikal mangsa kemudian ditolak menggunakan kaki kanan oleh lelaki berusia 52 tahun yang menunggang Yamaha 135 LC dari arah Masai ke Kong Kong.
“Setibanya di lokasi kejadian, kedua-duanya hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan. Penunggang Honda Wave terhantuk pada tiang lampu manakala penunggang Yamaha 135 LC terjatuh di tepi bahu jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, penunggang Honda Wave mengalami kecederaan parah di kepala, manakala penunggang Yamaha 135 LC hanya cedera ringan.
“Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, untuk rawatan namun penunggang Honda Wave disahkan meninggal dunia pada jam 3 petang semalam,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian. – KOSMO! ONLINE