KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan jumlah kerugian harta benda sebanyak RM32 juta di negeri ini akibat kebakaran sepanjang tahun lalu.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, kejadian litar pintas di rumah mencatatkan kes tertinggi dilaporkan sepanjang tempoh tersebut dengan 208 kes atau 60 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Selain itu, kebakaran berpunca daripada aktiviti memasak adalah kes kedua tertinggi sebanyak 28 peratus, berbanding yang lain.
“Justeru, semua rakyat di negeri ini dinasihatkan agar sentiasa waspada. Kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga dalam segala aktiviti bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.
“JBPM Kelantan terus komited melaksanakan pemeriksaan menghapus bahaya kebakaran dalam usaha menguatkuasakan undang-undang,” katanya pada Program Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Tahun Baru Cina 2025 di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Farhan Sufyan memberitahu, pihaknya melakukan 518 pemeriksaan, melebihi sasaran 500 yang ditetapkan melibatkan premis tumpuan ramai. – KOSMO! ONLINE