PETALING JAYA – LBS Bina Group Berhad (LBS) memperkenalkan Strategi 8 x 8 yang dinamik pada Mesyuarat ‘Town Hall’ LBS 2025 baru-baru ini, yang bertujuan meningkatkan pencapaian Kumpulan sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri pembangunan hartanah.
Pelan hala tuju korporat tiga tahun bermula 2025 hingga 2027 itu berteraskan komitmen LBS untuk melancarkan rangkaian projek dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM8 bilion, dengan lapan fokus utama.
Ia termasuk Perumahan, Industri & Komersial, Pengoptimuman Bank Tanah, Pencapaian Kecemerlangan, Peningkatan Keupayaan Pekerja, Pengalaman Pelanggan, Kemajuan Kelestarian, dan Kesejahteraan Komuniti.
Di bawah rancangan pembangunannya, LBS komited membangunkan kediaman yang merealisasikan impian rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sendiri, merangkumi pelbagai jenis kediaman terletak di kawasan bandar utama terutamanya di Lembah Klang, Pahang, Johor dan Perak.
Selain perumahan, LBS akan membangunkan hab industri dan komersial yang disesuaikan dengan keperluan perniagaan moden, yang mana ia akan ditempatkan secara strategik untuk memastikan akses mudah ke rangkaian infrastruktur serta logistik, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi.
LBS juga sedang meneroka cara inovatif untuk mengoptimumkan bank tanah, antaranya pembangunan ladang solar berkapasiti 43 MWp milik Kumpulan di Senawang, Negeri Sembilan yang dijangka siap menjelang akhir 2025 untuk menyokong matlamat tenaga lestari serta menjana pendapatan berulang.
Sementara itu, baki lima fokus utama dalam strategi tersebut bertujuan untuk membezakan LBS daripada pesaing, dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan operasi.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dr. Lim Hock San berkata, dengan asas yang dibina berteraskan kepercayaan serta rekod kejayaan yang terbukti, Strategi 8 x 8 akan menjadi panduan untuk fasa pertumbuhan seterusnya.
“Kami komited sepenuhnya untuk melangkaui jangkaan pembeli rumah dan pihak berkepentingan, sekali gus mentakrifkan semula maksud membina warisan kecemerlangan,” katanya.
Dalam mesyuarat ‘town hall’ tahunan dengan tema ‘The Power of Believe, Become and Behold,’ acara berinspirasi warna-warna neon telah diadakan di SJK (C) Sg. Way, Petaling Jaya, iaitu lokasi serupa dengan mesyuarat ‘town hall’ sulung LBS pada 2012.
Ia menjadi titik nostalgia yang penuh inspirasi bagi Kumpulan. Dari 160 kakitangan, LBS kini telah berkembang menjadi tenaga kerja yang kukuh dengan lebih daripada 450 kakitangan, masing-masing memainkan peranan penting dalam kejayaan berterusannya.
“2024 telah menjadi tahun pertumbuhan yang luar biasa bagi LBS, dengan pencapaian yang cemerlang dalam pembangunan peribadi, budaya organisasi, dan prestasi korporat.
“Melangkah ke hadapan, kekuatan kami terletak pada pasukan yang bersatu dan semoga kakitangan LBS akan terus manfaatkan momentum ini, seterusnya mencapai kejayaan yang lebih besar,” tambah Hock San. – KOSMO! ONLINE