LIPIS – Isu laluan gelap di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bermula daripada Genting Sempah di Bentong bakal berakhir apabila kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan peruntukan baharu bagi memasang lampu jalan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya mengambil perhatian isu itu dalam memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna.
“Saya akui berlaku kegelapan cuma apa yang dimaklumkan kepada saya bahawa pernah dipasang (lampu jalan) satu ketika dahulu tetapi lampu-lampu itu dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
“Jadi untuk mendapatkan peruntukan baharu, ambil masa sedikit, tetapi itu bukan alasan bagi kita dan kita akan pastikan nanti (pemasangan lampu jalan) supaya perkara yang tidak diingini tidak berlaku di masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka sempena Tahun Baharu Cina 2025 di Dewan Serbaguna SJKC Jerkoh di sini, hari ini.
Baru-baru ini melalui ruangan luahan pembaca di Kosmo!, seorang pengguna KLK yang sering berulang alik di laluan berkenaan melahirkan rasa bimbang setiap kali memasuki Genting Sempah kerana kawasan itu begitu gelap berbanding di sebelah Gombak yang dipasang lampu jalan.
Pengguna yang berasal dari Raub itu juga menyatakan, dia sering kali menyaksikan kemalangan di laluan berkenaan malah hampir terlibat dalam kemalangan kerana keadaan yang gelap, berbukit dan berselekoh.
Sehubungan itu dia berharap, pihak berkaitan dapat memandang serius perkara yang melibatkan kesihatan pengguna jalan raya itu dan segera memasang lampu jalan.
Menurut Wan Rosdy, beliau mengakui isu tersebut bukan perkara baharu dan pernah dibangkitkan beberapa kali sebelum ini malah telah dikemukakan permohonan. – KOSMO! ONLINE