PETALING JAYA – Kilang kicap soya Hup Teck akan menamatkan perniagaannya pada 28 Januari ini selepas 111 tahun beroperasi, sekali gus menutup lembaran sejarah sebagai salah satu jenama tempatan tertua di Malaysia.
Menerusi satu hantaran di Facebook, pihak kilang memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat dengan rasa berat hati dan penuh kesyukuran selepas 111 tahun menjadi sebahagian daripada kehidupan pelanggan setia mereka.
“Ini adalah keputusan yang sangat sukar untuk kami. Sudah tentu, kami berterima kasih atas sokongan dan kesetiaan anda yang berterusan, anda semua adalah sebab untuk kejayaan kami,” tulisnya.
Kilang kicap tradisional ini dikenali ramai kerana resipi turun-temurun dan kualiti produknya yang sentiasa terjaga.
Dalam hantaran yang sama, pelanggan turut digalakkan untuk berkunjung dan membeli stok kicap yang masih ada sebagai tanda penghargaan daripada pihak kilang.
“Kami amat bersyukur kerana dapat berkhidmat kepada anda semua. Kami akan merindui anda,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE