PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sedang menjalankan kajian menyeluruh berhubung keperluan naik taraf dan baik pulih tabika bawah jabatan itu di seluruh negara.
Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd. Hanafiah Man berkata, pihaknya sedang menyediakan laporan komprehensif di mana ia bukan sahaja memberi tumpuan kepada kerja fizikal tetapi turut mengambil kira aspek dasar.
“Ini termasuk isu pemilikan tanah, status bangunan yang digunakan secara menumpang terutamanya bangunan awam seperti balai raya selain kaedah perolehan bangunan komersial yang sesuai untuk dijadikan premis tabika.
“Kita mahu penyelesaian secara menyeluruh dapat dicadangkan bagi memastikan pendidikan awal kanak-kanak khususnya di luar bandar lebih teratur dan terjamin.
“Selain itu, bagi kawasan pedalaman, penyediaan tenaga elektrik dan sumber air juga perlu diberi perhatian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, tadi.
Untuk rekod, kajian menyeluruh itu juga selaras dengan arahan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya satu Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenai perkara berkenaan disediakan.
Selain itu katanya, keputusan kerajaan mengenai penggunaan panel solar, tangki tadahan hujan atau air bawah tanah juga wajar dikaji dengan teliti bagi memastikan keperluan asas itu dapat dipenuhi secara berkesan.
“Kemas bukan sahaja komited dalam penyediaan kemudahan fizikal yang kondusif, tetapi jauh lebih penting untuk anak-anak di luar bandar mendapat peluang pendidikan awal berkualiti sama seperti yang dinikmati anak di bandar,” katanya.
Ketika ini, terdapat lebih 10,616 kelas tabika Kemas di seluruh negara dengan 470 premis disewa dan 4,268 premis menumpang. – KOSMO! ONLINE