SHAH ALAM – Lokasi penemuan bot pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terdampar di pesisir pantai Banting adalah merupakan lokasi titik panas bagi penyeludupan migran.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, semasa insiden pelanggaran dan serangan dilakukan, dipercayai penyeludup yang membawa migran itu baharu hendak keluar ke Indonesia.
Katanya, bagaimanapun siasatan masih dijalankan sama ada mereka yang terlibat adalah daripada kumpulan penyeludup yang tegar.
“Lokasi tersebut memang titik panas untuk mendaratkan dan mengambil PATI. Kita mengesyaki mereka baharu sahaja berlepas untuk keluar ke Indonesia (bagi tujuan penyeludupan PATI),” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Beliau menambah, semasa bot berkenaan dijumpai, didapati hanya ada dua PATI Indonesia sahaja.
“Seorang tidak sedarkan diri dan seorang lagi cedera. Bot bersama kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Pontoon Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
“Mangsa yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia di lokasi. Mangsa yang cedera pula dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, kejadian bot Maritim Malaysia (APMM) dilanggar serta penguat kuasa diserang dengan parang menjadi punca lima lelaki warga Indonesia ditembak dan seorang daripada mereka mati dalam kejadian di perairan Tanjung Rhu, Banting di sini, dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi pada 24 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE