PORT DICKSON – Polis akan membuat permohonan lanjut reman ke atas pasangan kekasih yang ditangkap sebelum ini kerana dipercayai menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian kepada bayi tersebut.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, suspek sebelum ini telah direman selama tujuh hari bermula 22 Januari lalu sehingga esok bagi disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Esok kita akan mohon sambung reman di Mahkamah Majistret Port Dickson. Manakala, jenazah bayi berkenaan sudah pun diserahkan kepada keluarga suspek perempuan untuk dikebumikan.
“Penyerahan dilakukan selepas bedah siasat selesai dan jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Intan Perdana, Telok Kemang,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Pada 22 Januari lalu, media melaporkan sepasang kekasih masing-masing berusia 18 tahun dan 21 tahun ditangkap polis di dua lokasi berasingan di daerah ini malam semalam selepas dipercayai menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian kepada bayi tersebut.
Maslan berkata, tangkapan dibuat berikutan pihaknya telah menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Port Dickson berkenaan maklumat seorang pesakit perempuan tempatan telah melahirkan anak tetapi bayi tersebut gagal dikesan kira-kira pukul 11.13 pagi.
Siasatan lanjut yang dijalankan oleh pihak polis telah menemui bayi tersebut yang disembunyikan dalam beg di sebuah bilik di Taman Intan Perdana, Telok Kemang. – KOSMO! ONLINE