fbpx

Isu ham: Polis sudah rakam keterangan Cecelia Yap Song

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin mengesahkan seorang wanita dikenali Cecelia Yap Song telah dirakam keterangan berhubung komennya pada Facebook.

PETALING JAYA – Polis merakam keterangan ‘Cecelia Yap Song’ hari ini, wanita yang sebelum ini didakwa memuat naik komen berunsur penghinaan terhadap agama Islam berkaitan isu ‘ham’ di Facebook.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pesara jururawat berusia 65 tahun itu hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira pukul 11 pagi hingga 12.30 tengah hari tadi.

Katanya, suspek diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah dan sebanyak 21 soalan dikemukakan kepadanya.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku telah memuat naik komen berkenaan.

“Dia mendakwa komen itu dibuat sebagai reaksi terhadap satu hantaran asal oleh pengguna Facebook lain,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 7 Plus serta satu kad SIM milik suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 298 dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) esok untuk arahan lanjut,” ujarnya.

18 Januari lalu, seorang lelaki dikenali sebagai Mohammad Azlan Kimin, 38, telah membuat laporan polis selepas melihat komen suspek di Facebook.

Komen tersebut yang tertulis “MoHAMmad…got to be renamed then” yang dipercayai merujuk kepada nama Nabi Muhammad.

Komen itu ditinggalkan dalam hantaran dimuat naik pelawak, Harith Iskander berkaitan sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan ham sap kopi berharga RM5.50.

Terdahulu Kosmo! melaporkan polis sudah merakam keterangan pelawak dan pelakon, Harith Iskander pada Rabu lalu berhubung hantaran di akaun Facebooknya mengenai isu ‘ham’ yang didakwa menghina agama Islam.

Polis juga mengenal pasti identiti seorang lagi individu dikenali sebagai ‘Cecelia Yap Song’ yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.

“Kita masih dalam proses mengesan individu Cecelia Yap Song. Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 298 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata Razarudin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI