SHAH ALAM – Hanya tinggal 11 anak GISB Holding (GISBH) di Selangor yang belum dituntut susulan masih mengenal pasti ibu bapa mereka.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang giat mencari waris remaja ini supaya mereka dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.
“Berdasarkan rekod, seramai 200 anak-anak GISBH ini sudah pun dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing kira-kira tiga minggu lepas dan kita ada senarai nama keluarga berkenaan.
“11 lagi ini akan tamat hak penjagaan mereka pada hujung Januari ini. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada kuasa untuk memohon kepada mahkamah untuk dapatkan hak penjagaan sementara untuk dua bulan lagi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Menteri Besar Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, hari ini.
Mohammad Fahmi menambah, cadangan pemberian bantuan zakat menggunakan dana riqab kepada anak dan bekas ahli GISBH ini akan memudahkan proses pemulihan mereka. – KOSMO! ONLINE