fbpx

‘Hari-hari marah, adik suka main dekat longkang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SHAZIF menunjukkan gambar adiknya, Muhammad Rayyan Alif yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Abang kepada kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh longkang di Taman Kota Jaya di sini hari ini sering memarahi dan berpesan supaya tidak bermain di tepi longkang.

Mohd. Shazif Iman Gentor, 28, berkata, adiknya, Muhammad Rayyan Alif, 9, kali terakhir dilihat di rumah pada tengah hari tadi, malah dia sempat melihat adiknya ketika sedang makan tengah hari sebelum keluar bermain.

Menurutnya, dia difahamkan hari ini adik bongsunya itu bermain berdua dengan seorang kanak-kanak lain yang jarang bermain bersama.

“Ketika kejadian memang hujan dan selain suka main hujan dia juga suka bermain di kawasan parit dekat perumahan kami, tapi biasanya main di kawasan atas sahaja.

“Memang hari-hari sudah marah sebab suka main dekat longkang. Cuma biasanya dia main ramai-ramai hari ini mungkin sebab hujan jadi dia main dengan kawan yang bukan biasa dia main, hanya berdua sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di pintu air Sungai Kemang di sini, hari ini.

Tambahnya, kawan Muhammad Rayyan Alif sempat memberitahu penduduk berhampiran sebelum mereka memaklumkan kepadanya tentang kejadian menimpa adiknya.

“Adik jatuh di kawasan sebelah rumah orang di mana kawannya itu sempat memaklumkan kepada seorang mak cik di rumah berhampiran.

“Saya terus keluar ke longkang itu, namun kelibat adik sudah tiada. Air ketika itu memang deras, saya campak selipar di longkang dalam tempoh 10 minit selipar itu sudah sampai di depan berhampiran Sungai Johor,” katanya.

Jelasnya, apa yang membimbangkan sekiranya adiknya itu sudah jauh dibawa arus ke Sungai Johor kerana dia difahamkan pintu air Sungai Kemang ketika kejadian terbuka.

Katanya, lagi terdapat seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan parit itu antara orang terakhir melihat kelibat Muhammad Rayyan Alif di dalam air. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI