MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memuji mentaliti juara dipamerkan pasukannya untuk bangkit menewaskan Chelsea 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, pertahanan baharu City dari Uzbekistan, Abdukodir Khusanov melakukan kesilapan sehingga membuka ruang buat Noni Madueke menjaringkan gol pertama Chelsea seawal minit ketiga.
Namun, The Citizens selaku juara bertahan bangkit mempamerkan kelas tersendiri untuk meraih tiga mata penting menerusi jaringan Jasko Gvardiol, Erling Haaland dan Phil Foden.
Kata Guardiola, Khusanov yang baru berusia 21 tahun telah mempamerkan prestasi yang positif meskipun dikeluarkan pada awal babak kedua apabila digantikan dengan pemain lebih berpengalaman, John Stones.
“Saya rasa Khusanov akan belajar daripada kesilapan ini kerana dia masih lagi muda. Bukan mudah untuknya berdepan jentera serangan berkualiti pasukan lawan seperti Nicolas Jackson dan Cole Palmer.
“Namun, dia tidak menyerah dan mempamerkan mentaliti positif. Keputusan menggantikannya dengan Stones disebabkan Khusanov memiliki kad kuning dan saya tidak mahu mengambil risiko,” katanya.
Sementara itu, Guardiola turut memuji impak Bernardo Silva yang cemerlang menjadi ‘jeneral’ pasukan untuk mendominasi posisi tengah sehingga menyukarkan The Blues bangkit pada penghujung saingan.
Kemenangan itu menyaksikan City kini seakan sudah kembali ke tahap sebenar apabila tidak kalah dalam enam perlawanan terakhir liga yang menyaksikan mereka menang empat dan seri dua.
Menariknya, seorang lagi pembelian baharu City, Omar Marmoush dari Eintracht Frankfurt mendapat pujian tinggi daripada rakan sepasukan menerusi impak positifnya ketika membuat debut dalam aksi tersebut. – AGENSI