fbpx

Elak isu 3R hindari persengketaan – Wan Rosdy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN ROSDY mengacau Yee Sang pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 di Dewan Serbaguna SJKC Jerkoh di Lipis hari ini.

LIPIS – Persengketaan mengenai isu-isu sensitif 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja perlu dielakkan kerana boleh mencetuskan perpecahan yang memberi kesan buruk kepada masyarakat dan negeri.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehubungan itu semua masyarakat berbilang kaum di negeri ini perlu menghindari sebarang persengketaan yang berpunca daripada isu-isu sensitif.

“Di kesempatan ini saya ingin menyeru kepada semua lapisan masyarakat untuk sentiasa mengamalkan sikap berfikir sebelum bertindak khususnya dalam penggunaan media sosial.

“Jangan mudah terpengaruh dengan berita palsu, provokasi atau kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum,” katanya pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 di Dewan Serbaguna SJKC Jerkoh di sini hari ini.

Menurut Wan Rosdy, peranan sebagai rakyat adalah untuk memastikan keamanan dan kestabilan negeri ini terus terpelihara.

Jelasnya, dalam konteks itu beliau amat menghargai usaha pihak berkuasa dan pemimpin masyarakat dalam mendidik rakyat tentang pentingnya mengelakkan isu-isu sensitif.

“Kita semua perlu sedar bahawa setiap daripada kita memainkan peranan penting dalam membina masyarakat yang harmoni,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perayaan seperti Tahun Baharu Cina ini adalah peluang terbaik untuk memperkukuh hubungan antara kaum.

“Saya amat berbangga melihat rakyat Pahang yang sentiasa bersama-sama meraikan perayaan ini tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.

“Semangat inilah yang perlu terus dipupuk dan diwarisi oleh generasi akan datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI