fbpx

‘Cukuplah drama dalam industri, tak perlu di luar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHERRY menyelar tindakan sebilangan netizen yang menuduhnya masih belum ‘move on’ daripada kisah cinta lama. - MUHAMAD IQBAL ROSLI

SERING dianggap masih tidak ‘move on’ daripada episod percintaan lalu dengan aktor Fattah Amin, pelakon Sherry Ibrahim kesal dengan sikap segelintir netizen yang sesuka hati meninggalkan komen berbaur fitnah dalam media sosial sehingga mengganggu emosi dan mentalnya.

Sedar tidak mampu mengawal persepsi orang lain, Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 41, terkilan apabila ada individu seolah-olah mendapat ‘lesen’ melemparkan tuduhan tanpa mengenalinya secara peribadi.

“Kita tak boleh kawal pandangan orang, tetapi hakikatnya tiada siapa pun yang kenal siapa diri saya sebenarnya.

“Saya juga tiada kuasa untuk menghentikan mereka daripada bercakap perkara tidak benar.

“Berdiam dan bersabar memang bagus, tetapi jika terus membisu, kita akan ditindas dan dipijak. Itu bukan caranya,” katanya kepada HibGlam.

Pelakon filem Haloba itu juga mengakui kecewa apabila komen melampau tersebut bukan sekadar pendapat, malah menjurus kepada fitnah yang menimbulkan provokasi.

Bagaimanapun, dia cuba untuk melihat situasi tersebut dari sudut positif.

“Apa sahaja berlaku sebelum ini adalah sejarah hidup saya. Mereka tidak tahu cerita sebenar, tetapi membuat andaian mengikut tafsiran sendiri.

“Kadangkala, ada yang melampaui batas sehingga menjadikan isu tersebut bahan fitnah dan perbalahan. Walhal, niat saya tidak pernah seperti itu.

“Mungkin ini pahala percuma untuk saya. Jadi, saya terima sahaja,” jelasnya pada majlis tayangan perdana drama Viu Gadis Masa, baru-baru ini.

Sherry kini muncul dengan drama terbaharu berjudul Gadis Masa.

Meskipun enggan mencetuskan sebarang kontroversi, Sherry tidak akan terus berdiam diri andai tuduhan melampau itu mengganggu kesihatan mentalnya.

“Saya tak suka baca komen, tetapi bila melihat ada yang sangat melampau, takkan saya nak berdiam?

“Sebagai manusia, saya ada hak untuk menyuarakan pandangan. Mereka perlu diberi amaran kerana perkara ini melibatkan emosi dan mental saya,” tegasnya.

Malah, Sherry tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang jika keadaan memerlukan.

“Ada peguam datang kepada saya, menasihatkan supaya perkara seperti ini tidak dibiarkan. Jika perlu, saya akan ambil tindakan kerana semuanya ada batas.

“Saya sendiri benci dengan drama. Cukuplah drama dalam industri, tak perlu di luar,” katanya.

Sherry pernah menyelar tindakan seorang individu yang menuduhnya masih belum ‘move on’ daripada kehidupan lalu dan kisah percintaanya dengan Fattah sebelum ini.

Tuduhan itu disifatkan sebagai fitnah, malah seakan-akan sengaja dicipta demi menyemai kebencian terhadapnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI