KUALA LUMPUR – Seorang Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat konsesi lebuh raya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM70,000 berhubung Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE), dua tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh Ir. Rostam Shahrif Tami, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Rostam didakwa secara rasuah menerima satu suapan bagi dirinya iaitu wang tunai berjumlah RM70,000.00 daripada sebuah syarikat melalui seorang individu sebagai upah bagi dirinya yang merupakan wakil Penguasa (Superintending Officer’s Representative).
Ia bagi Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) memberikan kerja No. 3 bertajuk ‘To Construct End Cap Stressing And Shear Block’ dan ‘To Install Expension Joint Including Hacking, Grouting And Nosing’, kepada syarikat tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan tempat letak kereta, Jalan Damai, Kampung Datuk Keramat di sini pada 12 April 2023 yang didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694] yang boleh dinukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua puluh tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa menawarkan jumlah jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM selain tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.
Mendengar perkara itu peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mewakili tertuduh berkata pihaknya tiada bantahan berhubung jumlah jaminan dan syarat melapor diri, namun membantah syarat kacau ganggu saksi.
“Tiada keperluan untuk mengenakan syarat tambahan kacau ganggu saksi pendakwaan kerana saya yakin dan percaya anak guam saya tidak akan ganggu saksi pendakwaan maka tiada asas untuk membuat perintah sedemikian,” kata Dzulkifli.
Selepas mendengar permohonan dan makluman kedua-dua belah Hakim Rosli membenarkan Rostam diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM Selangor sekali setiap bulan.
Tarikh 27 Februari ini ditetapkan sebutan semula kes.
Sebelum ini SPRM dalam kenyataannya, memaklumkan mendapat izin untuk mendakwa seorang COO sebuah syarikat konsesi lebuh raya berikutan disyaki terlibat rasuah melibatkan projek lebuh raya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, unsur rasuah itu dikesan melibatkan Projek Penswastaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi- Ulu Kelang bernilai lebih RM1 bilion selain Projek Lebuhraya Bertingkat Damansara Shah Alam bernilai RM4.8 bilion. – KOSMO! ONLINE