PENGENDALI baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski tidak sabar untuk memulakan ‘kerja rumah’ bagi memastikan barisan pemain bersedia untuk memburu kelayakan automatik ke pentas Piala Asia 2027.
Katanya, sekarang bukanlah masa berada dalam keadaan tertekan, sebaliknya tempoh dua bulan akan datang bakal digunakan sebaik mungkin untuk membentuk pasukan ampuh sebelum mengharungi aksi kelayakan Kumpulan F bermula Mac nanti.
“Tekanan sentiasa ada dalam bola sepak. Kerja saya tidak datang tanpa tekanan setiap hari dan saya menyukainya.
“Satu-satunya cara untuk menghadapi tekanan itu ialah tumpu kepada tugasan yang kita lakukan setiap hari dan saya akan fokus sepenuhnya pada hal itu.
“Apa yang pasti, ia (kelayakan Piala Asia 2027) menjadi tumpuan. Kami mempunyai dua bulan untuk melakukan persiapan dan bersiap sedia bagi kem (latihan).
“Saya tidak sabar untuk melalui proses ini dan memasuki kem latihan bersama pemain buat kali pertama. Kami akan bekerja keras untuk menjadi pasukan yang kuat,” katanya.
Jurulatih import dari Australia itu turut memberi amaran kepada pemain untuk fokus bekerja dalam satu pasukan dan tidak akan sesekali bergantung dengan kekuatan individu.
“Pertama sekali, kami perlu menjadi satu pasukan. Kami tidak akan bergantung kepada seorang pemain, kami perlukan 11 pemain.
“Jadi sesiapa yang memakai lencana dan menyarung jersi (skuad negara) akan mewakilinya dengan penuh penghormatan, komitmen, kebanggaan dan semangat.
“Siap sedia untuk bekerja keras. Kami akan menjadi agresif, kami akan tingkatkan segala-galanya sebagai satu pasukan. Menerusi kerja keras dan komitmen, kami akan bersama mencapai peningkatan untuk mendapat keputusan yang dimahukan,” katanya.
Bekas pengendali FC Tokyo itu dijangka tersenyum apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan sekurang-kurangnya empat pemain warisan ‘gred A’ bakal menyarung jersi Harimau Malaya dalam masa terdekat.
Pengendali berusia 46 tahun itu dijangka membuat kemunculan debut pada aksi pembukaan Kumpulan F dalam kempen kelayakan menentang Nepal pada 25 Mac depan.
Kumpulan F turut dibarisi dua negara Asia Tenggara, Vietnam dan Laos dengan hanya juara kumpulan bakal meraih slot automatik ke kejohanan berprestij di Arab Saudi nanti.