SHAH ALAM – Tayar bas dan jentera berat menjadi fokus utama sepanjang operasi Tahun Baharu Cina bagi mengelakkan kemalangan maut akibat tayar tercabut khususnya.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, pihaknya akan menjadi lapisan kedua selepas pemeriksaan dilakukan kenderaan perdagangan itu di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Katanya, ini bagi memastikan semuanya mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan mengikut undang-undang.
“Apabila sesuatu kenderaan perdagangan termasuk lori melalui pemeriksaan di Puspakom, kami di JPJ buat pemeriksaan kali kedua sebaik mereka keluar daripada Puspakom.
“Kita akan tahan lori dan bas serta buat pemeriksaan secara rawak pada tayar, brek, lampu.
“Kalau dapati tidak memenuhi spesifikasi, kita akan gagalkan bas atau lori tersebut dan buat pemeriksaan Puspakom semula bagi memperbetulkan apa kesilapan atau kelemahan yang ada,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Operasi Terminal Bas di Seksyen 17 di sini, malam ini.
Beliau memberitahu, berdasarkan rekod sepanjang Op Puspakom sebanyak 10 buah kenderaan termasuk bas dan lori telah gagal mematuhi aspek tersebut.
Ujar Azrin, bagi statistik Operasi Terminal Bas bermula 1 hingga 27 Januari lalu menunjukkan sebanyak 1,701 bas telah diperiksa dengan 25 daripadanya telah diambil tindakan.
“Kita turut mengesan 34 kesalahan antaranya memandu di lorong kanan secara berterusan dengan 12 kes diikuti tayar haus (9), cermin retak (6), tiada pemandu kedua (4) dan tiga lain-lain kesalahan.
“Sebanyak 34 notis turut dikeluarkan dengan 16 adalah notis saman JPJ P(22), Notis 114 iaitu panggilan temusiasat (8) selain masing-masing lima bagi Notis PG1 melibatkan larangan penggunaan kenderaan dan Notis 61 (1) arah periksa,” jelasnya.
Ketika ditanya alasan kerap diterima berhubung tiada pemandu kedua, Azrin menegaskan rata-rata pengusaha bas menyatakan sukar mencarinya dan JPJ mengeluarkan notis atau saman kerana ia merupakan satu keperluan wajib bagi perkhidmatan bas. – KOSMO! ONLINE