ALOR SETAR – Bapa kepada pemuda yang ditemukan rentung dalam kebakaran rumah di Tongkang Yard, di sini pada Selasa lalu sentiasa berdoa agar jenazah anaknya itu dapat dituntut segera untuk dikebumikan.
Menurut Mohd. Zaini Hashim, 63, jenazah Muhammad Muslim, 23, masih ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini berikutan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) belum diperoleh.
“Saya berdoa dan berharap agar keputusan DNA arwah anak dapat disegerakan. Sama-sama kita berdoa agar urusan pengebumian arwah anak dipermudahkan,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, dia kini hanya menunggu pemakluman daripada pihak polis berhubung keputusan DNA itu bagi mengesahkan identiti mayat mangsa rentung adalah anaknya.
“Keadaan anak dan bapa angkatnya (Ibrahim Mydin, 61) ketika ditemui rentung, jadi kami perlu tunggu keputusan DNA sebelum boleh tuntut jenazah anak,” ujarnya.
Terdahulu, Mohd. Zaini berkata, dia hanya dapat mengecam salah satu mayat mangsa rentung dalam kebakaran rumah itu adalah anaknya berdasarkan ‘bangle’ (rantai tangan lelaki), rantai dan cincin yang ditemui pada mangsa.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, polis mengklasifikasikan kes kebakaran rumah di Tongkang Yard yang mengorbankan seorang warga emas, Ibrahim Mydin, 61, dan anak angkatnya, Muhammad Muslim Mohd. Zaini, 23, sebagai bunuh dipercayai akibat dendam.
Seramai lima suspek berusia antara 19 hingga 53 tahun termasuk saudara terdekat Ibrahim diberkas dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Siasatan mendapati mangsa warga emas membuat laporan telefom bimbitnya dicuri sehari sebelum kejadian sebelum bertindak menarik balik laporan selepas suspek menyerahkan semula barangan itu. – KOSMO! ONLINE