LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta memuji semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh pasukan untuk melakar kemenangan 1-0 ke atas Wolverhampton Wanderers dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun beraksi dengan 10 pemain.
Pada perlawanan di Stadium Molineux itu, The Gunners ditimpa malang apabila pengadil, Michael Oliver melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan kiri, Myles Lewis-Skelly disebabkan kekasaran dilakukan pada babak pertama.
Menurut Arteta, kekasaran itu tidaklah seteruk yang disangka dan berharap hukuman tersebut ditarik balik oleh barisan panel pengadil EPL supaya pemain berusia 19 tahun itu dapat kembali semula pada aksi akan datang.
“Saya rasa semua orang boleh lihat apa yang berlaku dan saya serahkan sepenuhnya kepada anda untuk membuat penilaian. Sebagai jurulatih, sudah tentu kami kecewa dengan keputusan pengadil tetapi segalanya sudah berlaku.
“Kami perlu membuat rayuan dan pihak mereka (EPL) sendiri sedar bahawa keputusan itu silap sekali gus tidak menggantung Skelly untuk tempoh yang panjang,” katanya.
Pertahanan gantian, Riccardo Calafiori muncul wira Arsenal apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-74, empat minit selepas pemain tengah Wolves, Joao Gomes turut ditunjukkan jalan keluar kerana mengutip kad kuning kedua.
Sementara itu, Arteta mengakui pasukan ketika ini sedang dilanda krisis kecederaan apabila dua pemain tengah utamanya, Mikel Merino dan kapten, Martin Odegaard terpaksa disisihkan ekoran kecederaan.
“Saya memuji semua pemain di atas padang kerana bukan mudah beraksi dengan 10 pemain terutama tanpa tonggak penting seperti Merino dan Odegaard. Saya harap momentum positif ini dapat diteruskan,” katanya. – AGENSI