PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta segala perkara yang telah disepakati antara Malaysia dan Indonesia dimeterai secepat mungkin.
Anwar berkata, Malaysia dan Indonesia antaranya komited dalam memastikan kerjasama Petronas dan syarikat tenaga negara itu, Pertamina.
“Kita pertingkatkan bidang ekonomi perdagangan dan kita kembangkan ke bidang pendidikan, penyelidikan, teknologi makanan, industri hiliran dan tenaga. Kedua-dua negara bersetuju memanfaatkan segala kekuatan yang ada antaranya dalam bidang pertahanan.
“Jadi hal itu hanya akan berlaku sekiranya ada bukan sahaja persefahaman tapi kedekatan, keyakinan dan ‘trust’ dalam kalangan pimpinan dan pasukan pimpinan,” katanya pada sidang media Anwar bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di ibu negara hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hubungan antara Malaysia dan Indonesia sangat unik dam tidak berlaku di antara negara-negara lain.
Kata beliau, Malaysia dan Indonesia mempunyai sejarah yang sangat dekat termasuk dalam aspek bahasa dan budaya serta pendekatan daripada segi sempadan yang sama.
Terdahulu, Perdana Menteri menganjurkan majlis minum petang bagi meraikan Prabowo di Menara Berkembar Petronas di ibu negara.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar dan Prabowo turut mengadakan pertemuan dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.
Antara topik dibincangkan adalah pelaburan, perdagangan, pertahanan, pembangunan kapasiti, kesalinghubungan dan kerjasama dalam ASEAN. – KOSMO! ONLINE