fbpx

5,387 murid di Perak terima Kit Peranti SPM 2025 dan Modul 3M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairudin (tengah) ketika hadir di Majlis Perasmian Penyerahan Kit Peranti bagi Program Anak Kita SPM 2025 dan Modul 3M di UPSI, Tanjung Malim hari ini.

TANJUNG MALIM – Seramai 5,387 murid sekolah rendah dan menengah di negeri ini menerima Kit Peranti bagi Program Anak Kita Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan Modul 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) dalam satu majlis di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah itu menyaksikan seramai 1,874 murid dari 141 buah sekolah menengah dan 3,513 murid dari 104 sekolah rendah menerima Kit Peranti dan Modul 3M tersebut.

Beliau berkata, program berkenaan sejajar dengan usaha kerajaan dalam memastikan pendidikan berkualiti untuk semua dan tiada pelajar yang tercicir akibat kekangan teknologi atau kekangan kewangan.

“Bantuan kelas bimbingan, peranti, modul dan pelan internet percuma selama setahun bagi murid sekolah menengah membantu meningkatkan prestasi akademik murid.

“Sementara itu, penyediaan Modul 3M pula adalah bagi murid pemulihan sekolah rendah dan guru bitara sebagai guru sokongan kepada guru pemulihan di sekolah. Bantuan ini cukup besar untuk membantu murid yang terlibat cemerlang dalam pelajaran,” katanya di sini hari ini.

Program Anak Kita adalah inisiatif Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan (KPM) yang diterajui oleh Pantau Madani dan Yayasan Hasanah dalam usaha menangani isu pemulihan pembelajaran di kalangan murid sekolah rendah dan sekolah menengah.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas berkata, Program Anak Kita adalah langkah yang terbaik untuk meningkatkan tahap pendidikan di Malaysia selari dengan usaha KPM.

“Pelaksanaan program ini adalah selari dengan usaha KPM dalam agenda Reformasi Pendidikan yang menetapkan enam fokus utama iaitu Pendidikan digital, Bahasa (MBMMBI), Intervensi Kurikulum, Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan Pendidikan Prasekolah.

“Agenda Reformasi Pendidikan oleh KPM ini juga sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.

Beliau berkata, sejumlah 1,874 murid daripada 141 buah sekolah adalah calon SPM 2025 di Perak yang menerima manfaat pengagihan peranti tablet memperolehi peluang yang lebih baik untuk mengikuti pembelajaran digital.

Sementara itu, katanya, murid pemulihan yang terbabit daripada 104 buah sekolah akan menerima lima naskah modul yang telah rangka mengikut kemahiran pemulihan murid.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, universiti itu bukan sahaja diberi mandat untuk menjadi penyedia perkhidmatan bagi Program Anak Kita: SPM di Perak tetapi juga Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI