PUTRAJAYA – Seramai 4,507 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2024 yang akan dilaksanakan pada 3, 6, 10, 12 dan 13 Februari depan.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, semua calon berdaftar akan menduduki peperiksaan itu yang dijadual diadakan di 132 pusat peperiksaan seluruh negara.
“Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, seramai 926 orang petugas peperiksaan telah dilantik.
“KPM ingin mengingatkan semua calon peperiksaan STAM Tahun 2024 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan,” katanya hari ini.
Jadual waktu peperiksaan STAM Tahun 2024 boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.
“Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
“Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan STAM Tahun 2024,” katanya.
KPM menjelaskan, pihaknya juga cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Jadi, KPM sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.
“Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana,” katanya.
Pada masa sama, calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat Lembaga Peperiksaan dan JPN di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE